Kalau anda sekarang tengah survey nak beli iPhone secondhand, mesti perasan satu benda yang agak pelik. Banyak sangat unit di pasaran Malaysia ni (kedai kedai yang menjual iPhone secondhand) yang Battery Health masih 100%. Nampak macam menarik, rasa macam berbaloi beli sebab “bateri masih tip-top”. Tapi, betul ke baterinya masih tiptop?
Tapi realitinya, situasi ini tidak seindah yang anda sangkakan ya. Hakikatnya yang ramai tak tahu, kebanyakan iPhone secondhand di Malaysia sekarang ni memang sudah di “pam” Battery Health-nya. Peratus yang ditunjuk kat iPhone tu mungkin 100%, tetapi keadaan sebenar bateri itu mungkin hanya sekitar 70% hingga 80% sahaja. Percaya tak?
Kenapa mereka ‘Pam’ Battery Health iPhone tu?
Jawapannya agak straight forward. Benda ni sebenarnya berpunca daripada permintaan anda lah sebagai pengguna sendiri. Dulu saya sendiri pernah menjadi pemilik kedai yang menjual iPhone secondhand di Seremban, Negeri Sembilan. Namanya Taliponiesta Seremban. Apa yang saya nampak dengan sangat jelas ialah pelanggan memang akan cari iPhone yang Battery Health-nya paling tinggi. Lagi tinggi, lagi cepat lah iPhone tu terjual. Kalau ada 100%, memang jadi pilihan utama tanpa banyak soal jawab lagi.
Jadi bila permintaan dah jadi macam ini, pihak pembekal mula “menyesuaikan” produk mereka, sesuai dengan permintaan para pelanggan ni. Saya ulang sekali lagi, pihak pembekal yang menyesuaikan produk mereka ya, iaitu iPhone secondhand ni.
Mereka gunakan cara tertentu untuk menaikkan bacaan Battery Health supaya nampak cantik di mata pembeli. Ini bukan kerja pemilik atau tauke kedai semata-mata, tapi ia berlaku di peringkat pembekal sebelum sampai ke tangan kedai.
Semua pihak happy, tapi sebenarnya ada masalah
Bila perkara ini berlaku, semua pihak nampak dan rasa macam untung. Macammana?
1. Pembekal berjaya jual stok iPhone mereka kepada kedai dengan cepat,
2. Kedai pula berjaya jual kepada pelanggan dengan lebih mudah.
3. Pelanggan pula rasa puas hati sebab dapat iPhone dengan Battery Health 100%.
Nampak macam semua happy, kan? Tapi sebenarnya, ada satu pihak yang paling akan terasa kesannya di kemudian hari. Iaitu pembeli itu sendiri, anda lah tu!
Kesan kepada anda selepas beli iPhone secondhand yang bateri dah di’pam’.
Masalah sebenar biasanya hanya muncul selepas beberapa hari atau minggu anda guna iPhone tu. Antara tanda paling biasa adalah:
1. Bateri iPhone anda cepat habis
Walaupun baru beli, penggunaan terasa tak macam bateri baru. Waktu pagi bateri penuh, tapi bila sampai tengah hari bateri dah tinggal sikit. Anda rasa macam “Eh, cepatnya bateri iPhone ni habis? Biasa lah kot, iPhone kan.”
2. Battery Health turun terlalu cepat
Ini yang ramai terkejut. Hari pertama beli, Battery Health tunjuk 100%. Seminggu kemudian, boleh turun ke 90% atau lebih rendah. Jatuhnya terlalu drastik sampai anda rasa macam tak masuk akal.
Pada ketika ini, barulah ramai mula sedar bahawa nilai peratus Battery Health itu sebenarnya tidak mencerminkan keadaan sebenar bateri.
Jadi dalam cerita ini, salah siapa sebenarnya?
Kalau nak saya cakap secara jujur, semua pihak ada peranan masing-masing. Dan semua pihak ada kesalahan masing masing.
Pihak Pembekal memang jelas lah bersalah di peringkat pertama. Kerana dia lah yang memanipulasi bacaan Battery Health pada iPhone tu. Tujuan mereka mudah, nak percepatkan jualan.
Pemilik atau tauke kedai pula, pada saya mereka berada dalam situasi yang agak tersepit. Dalam pasaran sekarang ni, hampir mustahil nak dapat iPhone secondhand dengan Battery Health yang benar-benar tepat dan original. Jadi mereka tiada banyak pilihan selain menjual unit yang ada. The business must go on, kan?
Namun begitu, kesalahan kedai tetap wujud jika mereka tidak jelaskan perkara sebenar kepada pelanggan. Sepatutnya, pelanggan diberi tahu lebih awal supaya tidak rasa tertipu selepas membeli.
Bahagian yang ramai tak suka dengar, iaitu kesalahan anda sebagai pembeli
Ini mungkin pahit, tapi penting untuk disebut. Sebagai pembeli, anda juga mestilah bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan fikiran sendiri. Cuba anda fikir secara logik. iPhone yang dah berusia 4 hingga 5 tahun, digunakan setiap hari oleh pemilik sebelum ini, adakah masuk akal kalau Battery Health iPhone tu masih 100%?
Contohnya model yang keluar sekitar 2021, iaitu iPhone 13 Pro Max contohnya. Digunakan bertahun-tahun, tapi keadaanya masih perfect? Secara realistik, memang tak logik. Saya sendiri menggunakan iPhone 13 Pro Max dari tahun 2022 hingga sekarang, memang banyak kecacatan yang dah ada pada iPhone saya ni.
Kalau anda terlalu fokus nak jugak cari angka 100% pada Battery Health, anda sendiri membuka ruang kepada manipulasi ini berlaku.
Jadi, apa yang anda boleh dan perlu buat?
Masalah ini memang wujud dan agak meluas dalam pasaran sekarang. Tapi ia bukan sesuatu yang tak boleh dielakkan. Langkah pertama sebenarnya bermula dari kesedaran anda sendiri sebagai pengguna. Faham bagaimana Battery Health iPhone berfungsi, dan jangan hanya bergantung pada satu angka semata-mata ya.
Dalam artikel pada hari esok, saya akan kongsikan cara untuk kenal pasti Battery Health sebenar sebelum anda beli iPhone secondhand. Tajuknya adalah Cara Mengetahui Battery Health Sebenar Bila Nak Beli iPhone Secondhand di Tahun 2026.
Kalau anda memang tengah plan nak beli, cerita yang ini memang wajib untuk anda baca.